Minyak Jojoba


Simmondsia Chinensis atau lebih dikenali dengan nama Jojoba bukanlah satu bahan yang asing dalam penghasilan produk-produk kecantikan dan penjagaan diri seperti sabun, syampu mahupun produk kosmetik. Ia sebagai ester lilin mempunyai struktur yang stabil dan jangka hayatnya juga panjang membuatkan ia mudah bercampur dengan produk lain seperti syampu tanpa perlu diubah atau akan tengik. Ia tidak mempunyai bau atau haruman menjadikannya ramuan tambahan sempurna dalam produk penjagaan kulit dan rambut.

Kini ia begitu popular terutama minyaknya, namun sebenarnya masyarakat pribumi barat daya Amerika telah terlebih dahulu menggunakan tumbuhan ini dalam kehidupan mereka. Jojoba merupakan pohon renek yang tumbuh secara semula jadi di kawasan gurun Arizona, barat laut Mexico dan utara California. Maka tidak hairanlah jika ia seringkali digunakan dalam kehidupan masyarakat Amerika terutamanya masyarakat pribumi.

Pokok jojoba ditanam bagi mendapatkan bijinya, ini kerana minyak jojoba dihasilkan daripada biji-bijinya. Disebabkan masyarakat pribumi Amerika sentiasa berada di kawasan gurun yang panas terik, dikatakan masyarakat pribumi ini menggunakan minyak jojoba untuk melindungi kulit dan rambut mereka daripada kepanasan matahari.


Bagi menghasilkan minyak jojoba, biji-bijinya perlu dihancurkan terlebih dahulu. Minyak jojoba biasanya digunakan sebagai aroma terapi untuk minyak pati. Minyak ini juga mengandungi pelbagai zat penting iaitu vitamin E, vitamin B kompleks dan silikon mineral, kromium, tembaga dan zink.

Minyak jojoba dikatakan mengandungi bahan antimikrob dan mampu menyeimbangkan kadar *sebum di kulit wajah. Selain itu, minyak semula jadi ini juga berkesan melembutkan, melembapkan dan menghaluskan kulit dan juga berupaya melindungi kulit daripada menjadi terlalu berminyak.

Hasil kajian Profesor Zille dari Port Elizabeth University mendapati, minyak jojoba juga berkesan melambatkan pembesaran beberapa jenis bakteria dan kulat yang menyerang kulit penyebab jerawat. Ia bertindak dengan membersihkan liang-liang yang tersumbat atau dijangkiti dan perlahan-lahan membunuh bakteria dari dalam kerana sifat semulajadinya yang anti-bakteria dan anti-kulat. Minyak Jojoba tidak menyumbat liang-liang dan tidak menyebabkan alahan, ia bukan bahan comedogenic yang boleh menyebabkan alahan yang kuat.

Struktur dari minyak jojoba mirip dengan struktur lapisan lemak (lipid) yang dihasilkan oleh kulit secara semula jadi. Dalam fungsinya melembutkan kulit, minyak jojoba akan membentuk lapisan sangat tipis pada lapisan epidermis. Lapisan inilah yang akan mencegah berkurangnya kadar air pada kulit akibat penyejatan dan hasilnya, kelembapan kulit tetap terjaga hingga ke dalam.

Selain itu, kajian dari University of Michigan menyebutkan bahawa minyak jojoba yang disapu pada kulit kepala dapat meresap dengan baik hingga ke liang-liang dan folikel rambut pada lapisan akar seterusnya melembutkan rambut serta menyihatkan kulit kepala dan ini dapat mencegah rambut daripada menjadi kasar dan rosak. Jika ditambahkan beberapa titis minyak jojoba ke conditioner rambut yang biasa digunakan lalu dibilas hingga bersih, rambut akan tampak lebih bersinar serta membantu mencegah kelemumur.

Sebagai bahan aktif pelembab, ekstrak minyak jojoba mempunyai kandungan yang setara dengan bahan sintetik lain yang biasa terdapat dalam produk pelembab tapi ia tidak seperti pelembap konvensional yang biasanya akan “kering” dalam masa kurang daripada sejam, khasiat yang terkandung dalam minyak jojoba membolehkan ia mengelak dari pengeringan dan penyejatan sendiri.

Lelaki yang bercukur juga mendapat manfaat dari keunikan minyak jojoba. Hanya sapu pada kawasan misai/janggut/jambang yang hendak dicukur bersama krim pencukur,  ia membantu mencegah iritasi akibat pisau cukur dan membuatkan kawasan berkenaan lebih lembut.

*sebum - kelenjar mikroskopik pada kulit yang merembeskan bahan berminyak/berlilin bagi melicinkan kulit dan rambut pada mamalia.